Kitab al-Tahqiq
(التحقيق) adalah sebuah kitab fiqh yang
menjadi rujukan utama di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan
antara kitab fiqh karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf
al-Nawawi (676H).
Menurut
pendapat ulama mazhab al-Syafi’i, kitab al-Tahqiq dikategorikan sebagai kitab
fiqh yang berkedudukan yang paling tinggi di antara kitab-kitab karya
al-Nawawi. Jika terdapat perbezaan pendapat Imam al-Nawawi dalam sesuatu
permasalahan hukum yang terdapat kitab-kitab karyanya, maka yang didahulukan adalah
pendapat beliau yang terdapat dalam kitab al-Tahqiq.
Menurut
al-‘Allamah al-Kurdi, sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Maslak
al-‘Adl dan kitab al-Fawaid al-Madaniyyah;
“ Jika
terdapat perbezaan pendapat al-Nawawi dalam beberapa kitabnya, maka
pendapat yang muktamad ialah yang terdapat dalam kitab al-Tahqiq”.
Kemudian
al-Kurdi menyenaraikan kitab-kitab karya al-Nawawi yang menjadi rujukan mazhab
mengikut susunan keutamaannya, iaitu;
a) al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,
b) al-Rawdhah al-Thalibin,
c) Minhaj al-Thalibin,
d) al-Fatawa
e) Syarh Muslim
f)
Tashhih al-Tanbih.
Menurut
al-Nawawi, beliau menyusun kitab al-Tahqiq ini sebagai sebuah ringkasan bagi
menghimpunkan perbincangan mengenai permasalahan fiqh terdapat dalam
kitab-kitab mazhab al-Syafi’i, sama ada dari kitab-kitab aliran Qadim ataupun
Jadid.
Di
antara kitab-kitab yang menjadi rujukan al-Nawawi ketika menyusun kitab
al-Tahqiq ialah;
a) Al-Imla’
b) Al-Umm
c) Al-Bahr al-Muhith
d) ‘Uyun al-Masail
e) Al-Risalah
f)
Al-Jami’ al-Kabir
g) Mukhtashar al-Buwaithi
h) Mukhtashar al-Muzani
Selain
kitab-kitab fiqh, beliau juga ada merujuk kepada kitab-kitab hadis, syarah
hadis, ushul, kitab mengenai thabaqat dan kitab-kitab lain yang ada
membincangkan permaslahan fiqh di dalamnya secara tidak langsung seperti kitab
tafsir dan sebagainya.
Untuk membaca kitab ini, pembaca
boleh men-download-kannya di pautan;
https://archive.org/download/tahqeeq_nawawee/tahqeeq_nawawee.pdf . Kitab versi file PDF ini
adalah berasal dari kitab al-Tahqiq yang diterbitkan Dar al-Jail, Beirut, dalam satu jilid - dengan cetakan pertamanya pada tahun
1992. Kitab ini ditahqiq oleh Syaikh ‘Adil ‘Abdul Mawjud dan Syaikh ‘Ali
Mu’awwidh. Semoga bermanfaat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar