ASAS ISLAM
Menguasai ilmu itu ada cabang dan
tahapannya. Laksana anak kecil belajar bertatih kemudian berjalan dan baharulah
berlari. Begitu juga dalam menuntut ilmu. Jika dalam ilmu akidah para ulama’ sepanjang
zaman menyarankan teks-teks asas yang ringkas sebagai permulaan. Antara yang
sering disebut ialah Akidah Tahawiyah oleh Imam Abu Jaafar Tahawy. Ia telah
diberikan syarahan oleh sultanul ulama’ Izz Abdul Salam, seorang imam dari
mazhab Syafie.
Antara lain termasuk juga Akidah
Wasitiyah Ibn Taimiyah, Usul Sunnah Imam Ahmad b Hanbal, anak murid kanan Imam
Syafii dan jug Syarhu Sunnah Imam Barbahari. Jika diperhatikan semua teks-teks
permulaan ini ringkas dan bersaiz kecil sahaja.
Manakala dalam ilmu hadis pula,
salah satu teks asas yang wajib dipelajari oleh penuntut ilmu ialah hadis 40
susunan Imam Nawawi. Jangan sesekali ‘langkah bendul’ mempelajari Bulughul
Maram oleh Ibn Hajar al-Asqani atau Umadul Ahkam oleh Ibn Ghani al-Maqdisy.
Juga kitab-kitab teks hadis yang lebih besar dari itu seperti al-Minhaj
Syarah Sahih Muslim apatah lagi Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari.
Ulama yang mula-mula mencetuskan
idea sehingga Imam Nawawi menyusun kitab hadis 40 ini ialah Ibnu Shalah rhm
yang hidup sebelum zaman Imam An-Nawawi rhm. Ibnu Shalah rhm telah mengumpulkan
beberapa hadis yakni 27 hadis asalnya. Imam Nawawi rahimahu melihat bagus usaha
ini maka ditambah sehingga menjadi 42 hadis, dan kemudian Ibnu Rajab
Al-Asqalani datang dan menambah lagi sehingga genap 50.
Hadis 40 karangan asal Al-Imam Yahya
Ibn Syaraf An-Nawawiy ataupun lebih dikenal sebagai Al-Imam An-Nawawi, wafat
pada tahun 676 hijrah. Kitab ini asalnya mengandungi 42 hadis (dinamakan hadis
40 setelah dibundarkan) dan kemudian ditambah lapan hadis lagi menjadi 50 hadis
oleh Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali iaitu ulama yang hidup pada kurun ke-7. Ibnu
Rajab melihat ada 8 hadis penting yang perlu ditambah untuk melengkapkan
kitabnya yang berjudul Jamiul Ulum wal Hikam.
Ciri-ciri hadis yang ada di dalam
kitab ini umumnya adalah hadis-hadis usul (dasar) yang menjadi dasar dan
prinsip agama yang penting. Inilah perkataan ringkas yang disebut oleh Nabi SAW
sebagai jawaami’ul kalim, dalam hadis yang bermaksud
“Aku diutus dengan jawami’ul kalim.”
(riwayat Al-Bukhari, no. 2755)
Menurut Ibnu Rajab Al-Hanbali,
maksud jawami’ul kalim ialah perkataan yang ringkas tetapi maknanya
luas. Sebagai contoh hadis pertama maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan
berasaskan niat.”
Nabi tidak perlu menyebut bahawa
amalan puasa perlu dimulakan dengan niat, untuk bersolat perlu kepada niat,
berzakat, haji, dan sebagainya perlu niat. Nabi menyebut perkataan yang pendek
dan ringkas tetapi merangkumi maksud keseluruhannya. Inilah ciri-ciri hadis di dalam
kitab ini.
Kitab ini penting walaupun kecil
saiznya dan sedikit jumlah hadis di dalamnya tetapi kesemuanya merupakan
dasar-dasar hukum, dasar-dasar akidah, ibadah, akhlak – perhubungan sesama
manusia, kasih mengasihi sesama manusia, juga merangkumi tentang bid’ah,
syariat Islam, dan akidah melalui hadis Jibril. Kitab yang kecil ini besar
nilainya.
Selain Imam Nawawi, terdapat ramai
ulama’ lain baik dari kalangan terdahulu mahupun kemudian menghimpunkan 40
hadis berdasarkan tema masing-masing. Namun berbanding yang lain hadis-hadis
yang disusun oleh Imam Nawawi lebih dikenali. Ini berdasarkan sebuah riwayat
yang disandarkan kepada Nabi saw maksunya, “Barangsiapa yang memelihara
daripada umatku empat puluh hadis berkenaan dengan agama mereka, nescaya Allah
akan membangkitkannya pada hari kiamat kelak bersama golongan para fuqaha’ dan
‘ulama.”
Beberapa ulama-ulama hadis telah
menilai hadis-hadis yang menetapkan kelebihan menyusun 40 hadis seperti di atas
adalah hadis yang dhaif, antaranya Imam An-Nawawi sendiri, Imam Ad-Daruquthni
yang hidup kurun ke-3 selepas daripada Imam Al-Bukhari, Imam Al-Baihaqi yang
mengatakan semua sanad hadis ini dhaif, Imam Ibn Asakir, Imam Abdul Qadir
Ar-Rahawi, dan termasuk juga Imam Ibnu Hajar Al-Atsqalani yang turut menilai dhaif
kesemua hadis berkaitan kelebihan mengumpul 40 hadis.
Pun begitu berdasarkan ijitihad
serta istikharah dan pertimbangan lain, maka Imam Nawawi tetap menyusun kitab
ini. Jumlah hadis yang dikumpulkan ialah 40, namun sebutan judulnya dibundarkan
menjadi 40 sahaja.
Kitab hadis 40 Imam Nawawi juga
menjadi pilihan ramai ulama’ kemudiannya untuk dikaji dan disyarahkan secara
terperinci. Antara yang paling awal mengarang kitab membahaskan karya ini ialah
ulama’ yang hidup satu zaman dengan Imam Nawawi sendiri yakni Ibn Daqiq al-Eid.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar