TERJAMAH AL-UMM
LIL IMAM SYAFI”I
Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’-‘i
( 150-204H ) atau lebih dikenali dengan Imam al-Syafi-‘i banyak meninggalkan
karya yang menjadi rujukan umat Islam. Ada dua peringkat penulisan al-Syafi-‘i,
kitab yang beliau tulis di Makkah dan Baghdad dinamakan Qawl Qadim ( pendapat
lama ) dan Kitab yang ditulis ketka beliau di Mesir dinamakan Qawl Jadid (
pendapat baru ).
Ada tiga kaedah penulisan karya atau
kitab yang dinisbahkan kepada al-Syafi-‘i, iaitu;
- Kitab yang ditulis sendiri oleh al-Syafi-‘i.
- Kitab yang ditulis oleh murid-murid beliau berdasarkan pembacaan oleh Imam al-Syafi-‘i dihadapan mereka atau dikenali sebagai kaedah imlak ( al-imla_i ).
- Kitab yang disusun oleh murid-murid al-Syafi-‘i berdasarkan syarahan atau pengajaran
al-Syafi-‘i. Di mana murid-murid
beliau membuat catatan atau nota ketika mendengar kuliahnya, kemudian mereka
menyusun kembali catatan tersebut menjadi semua kitab. Kaedah ini banyak
diprektikkan oleh para ulama dahulu dan sekarang. Pada zaman kini, banyak
buku-buku yang diterbitkan, setelah diolah dan disusun berdasarkan kuliah atau
syarahan para ulama yang terkenal, lalu dinisbahkan kandungan buku
tersebut kepada mereka. Sedangkan, mereka sebenarnya tidak pernah menulis buku
tersebut. Di antara kitab yang masyhur masa kini yang mengunakan kaedah ini
ialah buku-buku yang dinisbahkan kepada al-Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi seperti
kitab al-Fatawa dan Tafsir al-Sya’rawi, karya-karya al-Syeikh Abdul ‘Aziz
bin Baz dan buku-buku yang dinisbahkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz
bin Nik Mat.
Kitab beliau yang paling utama dan
menjadi teras dalam mazhab as-Syafi’-‘i ialah Kitab al-Umm ( Kitab Induk
). Ia dinamakan sedemikian kerana boleh dikatakan semua penulisan dalam mazhab
al-Syafi’-‘i berasal daripada kitab ini.
Kitab al-Umm dari satu sudut
merupakan kitab fiqh terbesar dan tiada tandingan pada masanya. Kitab ini
membahas berbagai persoalan lengkap dengan dalil-dalilnya, baik dari al-Qur’an,
al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Isi kitab ini adalah sebagai bukti keluasan ilmu
al-Syafi’i dalam bidang fiqh. Sedangkan dari sudut yang lain, ia juga dianggap sebagai
kitab hadits kerana dalil-dalil hadits yang ia kemukakan menggunakan jalur
periwayatan tersendiri sebagaimana layaknya kitab-kitab hadits.
Di kalangan ulama terdapat keraguan
dan perbezaan pendapat, mengenai penulisan kitab al-Umm, adakah ia ditulis oleh
al-Syafi-‘i sendiri atau karya para muridnya. Menurut Ahmad Amin, al-Umm
bukanlah karya langsung dari al-Syafi’i, namun merupakan karya muridnya yang
menerima dari al-Syafi’i dengan jalan didiktekan [ imlak ]. Sedangkan menurut
Abu Zahrah dalam al-Umm ada tulisan al-Syafi’i sendiri tetapi ada juga tulisan
dari muridnya, bahkan ada pula yang berpendapat bahwa dalam al-Umm ada juga
tulisan orang ketiga selain al-Syafi’i dan al-Rabi’ [ muridnya ]. Namun menurut
riwayat yang masyhur diceritakan bahwa kitab al-Umm adalah catatan peribadi
al-Syafi-‘i, karena setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya ditulis, dijawab
dan didiktekan kepada murid-muridnya. Oleh karena itu, ada pula yang mengatakan
bahwa kitab itu adalah karya dua orang muridnya iaitu Imam al-Buwaiti dan Imam
al-Rabi’. Pendapat ini dikemukakan oleh Abu Thalib al-Makki.
Walau apapun pandangan ulama
mengenai kaedah penyusunan kitab al-Umm ini, yang pastinya kitab ini boleh
dinisbahkan al-Syafi’i kerana ia memuatkan pandangan dan pemikirannya dalam
bidang hukum berdasarkan riwayat murid-muridnya yang diakui ummah sebagai
perawi yang adil dan tsiqah. Sebagaimana kaedah penulisan dan penyusunan hadits
Rasulullah saw, yang disusun oleh para muhaddisin berdasarkan riwayat-riwayat
yang sahih di sisi mereka.
Dalam menghuraikan
keterangan-keterangannya, Imam al-Syafi-‘i kadang-kadang memakai metod
soal-jawab, dalam erti menghuraikan pendapat pihak lain yang diadukan sebagai
sebuah pertanyaan, kemudian ditanggapinya dalam bentuk jawapan. Hal itu nampak
umpamanya ketika ia menolak penggunaan al-istihsan. Pada kesempatan yang
lain ia menggunakan metod eskplanasi dalam arti menguraikan secara panjang
lebar suatu masalah dengan memberikan penetapan hukumnya berdasarkan
prinsip-prinsip yang dianutnya tanpa ada sebuah pertanyaan, hal seperti ini
nampak dalam penjelasannya mengenai persoalan-persoalan pernikahan.
Dalam format kitab al-Umm yang dapat
ditemui pada masa sekarang, ada juga yang dicetakkan bersama kitab-kitabnya
yang lain dalam satu kitab al-Umm, di antaranya adalah:
- al-Risalah, mengandungi huraian sumber hukum islam, serta kaedah-kaedah pengistinbatan hukum syara’.
- Khilaf Malik, mengandungi bantahan-bantahan al-Syafi-‘i terhadap beberapa pendapat gurunya imam Malik.
- al-Radd ‘Ala Muhammad ibn Hasan, mengandungi pembelaan al-Syafi-‘i terhadap mazhab ulama Madinah dari serangan imam Muhammad ibn Hasan, murid Abu Hanifah.
- al-Khilaf ‘Ali wa Ibn Mas’ud, iaitu kitab yang memuatkan perbezaan pendapat antara Abu Hanifah dan ulama Irak dengan Ali bin Abi Thalib dan Abdullah bin Mas’ud.
- Sair al-Auza-’i, berisi pembelaannya atas imam al-Auza’i dari serangan imam Abu Yusuf.
- Ikhtilaf al-Hadits, berisi keterangan dan penjelasan al-Syafi-‘i atas hadits-hadits yang tampak bertentangan. namun kitab ini juga ada yang dicetak tersendiri
- Jima’ al-‘Ilmi, berisi pembelaan imam al-Syaf-i’i terhadap Sunnah Nabi Muhammad saw.
Kitab al-Umm ini telah
diringkaskan oleh Imam al-Muzani dalam kitabnya bertajuk Mukhtasar al-Muzani.
Dua abad kemudian, kitab Mukhtasar al-Muzani ini disyarahkan oleh Imam
al-Haramain al-Juwaini dalam kitabnya berjudul Nihayatul Mathlab fi Dirayah
al-Mazhab. Salah seorang murid al-Juwaini iaitu al-Imam al-Ghazali pula
meringkaskan kitab gurunya itu lalu diberi tajuk al-Basith. Seterusnya
al-Ghazali meringkasnya menjadi kitab al-Wasith, kemudian al-Wasith
diringkas pula menjadi kitab al-Wajiz. Kitab al-Wajiz ini diringkas lagi
menjadi kitab al-Khulashah.
Kitab al-Wajiz juga turut
diringkaskan semula oleh seorang lagi ulama’ mazhab al-Syafi-‘i bernama
al-Rafi-‘i dalam kitabnya al-Muharrar. Selanjutnya, al-Nawawi pula
meringkaskan kitab al-Muharrar dalam kitabnya Minhaj al-Thalibin,
yang mana ia menjadi pegangan utama ulama Syafi‘iyyah dalam berijtihad dan
berfatwa. Kitab ini seterusnya diringkaskan oleh Syeikh al-Islam Zakaria
al-Ansari dalam kitab al-Manhaj al-Thullab dan kitab al-Manhaj pula
diringkaskan oleh al-Imam al-Jauhari menjadi al-Nahj, dan al-Syaikh Zainuddin
al-Malibiri dalam kitabnya Qurrah al-‘Ayn.
Bab yang disusun dalam kitab al-Umm
hampir sama penempatannya dengan Minhaj al-Talibin atau syarahnya. Kitab ini
dikira sebagai asas bagi rujukan ulama’ as-Syafi-‘i yang muta’akhkhirin (
terkemudian ). Kitab ini mempunyai syarah (huraian) dan hawasyi (nota tepi)
yang sangat banyak. Antaranya ialah Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib
as-Syarbini, al-Minhaj wa Syarhuhu oleh Zakaria al-Anshari, Tuhfah al-Muhtaj
oleh Ibnu Hajar al-Haitami, Nihayah al-Muhtaj oleh ar-Ramli dan Zad al-Muhtaj
fi Syarh al-Minhaj oleh Abdullah bin Hasan Ali Hasan al-Kuhaji.
Kedudukan
Kitab al-Umm Berbanding Kutub al-Tis’ah
al-Syafi-‘i tidak hanya berperanan
dalam bidang fiqh dan ushul fiqh saja, tetapi ia juga berperanan dalam bidang
hadits dan ilmu hadits. Salah satu kitab hadits yang masyhur pada abad kedua
Hijriyah adalah kitab Musnad al-Syafi’i. Kitab ini tidak disusun oleh
al-Syafi’i sendiri, melainkan oleh pengikutnya, yaitu al-A’sam yang menerima
riwayat dari Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi, dari al-Syafi’i. Hadits-hadits yang
terdapat dalam Musnad al-Syafi’i merupakan kumpulan dari
hadits-hadits yang terdapat dalam kitabnya yang lain iaitu al-Umm. Dalam
bab jual beli, misalnya terdapat 48 buah hadits.
Dengan kegigihannya dalam membela
hadits Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam sebagai hujjah, al-Syafi’i berhasil
menegakkan autoriti hadits dan menjelaskan kedudukan dan fungsi hadits Nabi
secara jelas dengan alasan-alasan yang mapan. Dengan pembelaannya itu, ia
memperolehi pengakuan dari ummah sebagai Nasir al-Sunnah.
Bahkan beliau dipandang sebagai ahli hukum Islam pertama yang berhasil
merumuskan konsep ilmu hadits.
Hadits Nabi menurut al-Syafi’i
bersifat mengikat dan harus ditaati sebagaimana al-Qur’an, walaupun hadits itu
adalah hadits Ahad. Bagi ulama sebelumnya, konsep hadits tidak hanya disandarkan
kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam, bahkan juga pendapat sahabat, fatwa
tabi’in, serta ijma ahli Madinah dapat dimasukkan sebagai hadits. Bagi
al-Syafi’i, pendapat sahabat dan fatwa tabi’in hanya boleh diterima sebagai
dasar hukum sekunder, dan bukan sebagai sumber primer. Sedangkan hadits yang
boleh diterima sebagai dasar hukum primer hanyalah yang datang dari Nabi
Shallallaahu ‘alaihi wa sallam.
Tambahan;
- Kitab al-Umm telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia oleh Prof. Teuku H. Ismail Yakub SH, MA . Telah diterbitkan dalam 11 buku.
- Terjemahan Ringkasan Kitab al-Umm telah diterbitkan oleh Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Indonesia. Ia merupakan terjemahan Mukhtashar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh , yang diringkaskan oleh Husain Abdul Hamid Abu Nashir Nail